ESST - Persidangan "Tradisi dan Inovasi: Etnosains dalam Sains Fizikal, Sains Sosial dan Teknologi"

Pengenalan

Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat, Etnosains, ilmu yang berakar daripada pengetahuan, kepercayaan, dan amalan masyarakat tempatan, terus memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman kita terhadap sains dan teknologi moden. Persidangan "Tradisi dan Inovasi: Etnosains dalam Sains Fizikal, Sains Sosial dan Teknologi" bertujuan untuk mengkaji hubungan antara warisan ilmu tradisional dan kemajuan saintifik serta bagaimana kedua-duanya boleh digabungkan untuk menyelesaikan cabaran masa kini.

Melalui tiga bidang utama; Sains Fizikal, Sains Sosial, dan Teknologi, Persidangan ini akan menampilkan wacana akademik yang menghubungkan ilmu turun-temurun dengan pendekatan saintifik kontemporari. Para peserta akan membincangkan bagaimana masyarakat di rantau Asia telah lama menerapkan ilmu sains dalam pertanian, perubatan, astronomi, kejuruteraan, serta teknologi pembuatan dan seni bina. Selain itu, kita akan meneliti peranan etnosains dalam membentuk identiti budaya, pendidikan, dan kelestarian alam sekitar.

Persidangan ini akan menjadi titik pertemuan para akademik, penyelidik, dan pengamal ilmu tradisional dari pelbagai disiplin untuk berkongsi kajian dan pengalaman mereka. Dengan mengintegrasikan tradisi dan inovasi, kita dapat memperkaya pengetahuan sains moden serta mengangkat nilai budaya dan kearifan tempatan dalam menghadapi masa depan yang lebih lestari dan inklusif.

Selamat datang ke persidangan "Tradisi dan Inovasi: Etnosains dalam Sains Fizikal, Sains Sosial dan Teknologi." Semoga sesi ini membuka ruang untuk perbincangan bermakna dan kerjasama berterusan dalam memartabatkan etnosains dalam dunia moden


Tarikh persidangan

14-16 November 2025 (Jumaat, Sabtu, Ahad)


Tempat persidangan

Kolej Universiti New Era


Objektif:

  1. Menghubungkan Ilmu Tradisional dengan Sains Moden
    Menganalisis bagaimana etnosains dalam bidang Sains Fizikal, Sains Sosial, dan Teknologi dapat digabungkan dengan kaedah saintifik moden untuk menyelesaikan cabaran kontemporari dalam pelbagai bidang seperti perubatan, pertanian, kejuruteraan, dan alam sekitar.
  2. Memelihara dan Mendokumentasikan Pengetahuan Tradisional
    Menyelidik serta mendokumentasikan kearifan tempatan dari pelbagai masyarakat di Malaysia, Indonesia, Thailand, China, Brunei, Singapura dan lain-lain bagi memastikan ilmu tradisional terus diwarisi, dihargai, dan diaplikasikan dalam konteks masa kini.
  3. Membina Jaringan Kolaborasi antara Akademik dan Komuniti
    Menggalakkan perkongsian ilmu antara penyelidik, akademik, pembuat dasar, dan masyarakat tempatan bagi merangka strategi terbaik dalam mengintegrasikan etnosains ke dalam sistem pendidikan, pembangunan lestari, dan inovasi teknologi.