News @ NEUC

Tuah pelajar Bumiputera

2012-07-14
 
GEMBIRA... Dr. Saharuddin(kiri) bersama Dr. Mok membuat pertukaran MoU, semalam. (Harian Metro)  

KUALA LUMPUR: Bukan saja mendapat biasiswa penuh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, malah 20 penuntut Bumiputera yang mendaftarkan diri pada sesi pengajian di Kolej New Era turut berpeluang mempelajari bahasa Mandarin secara percuma selama dua semester.

Tawaran itu diberikan institusi pengajian berkenaan selepas satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Pertubuhan Budi Ikhlas Masyarakat Malaysia (PBIMM) yang menjadi pencetus kepada kemasukan pelajar Bumiputera di kolej dimonopoli bukan Bumiputera itu.

Presiden PBIMM, Datuk Seri Prof Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang prihatin dengan penguasaan ilmu di kalangan kaum Bumiputera, pihaknya menerima tawaran kolej itu untuk menjalinkan kerjasama dan mengisi kuota pelajar di situ.

“Kita merasakan tawaran biasiswa penuh untuk 20 pelajar Bumiputera tidak wajar dilepaskan begitu saja. Mereka perlu merebut peluang ini kerana ia begitu bermakna demi kelangsungan pendidikan tinggi.

“Dengan adanya biasiswa ini, mereka hanya perlu membayar untuk penginapan dan makanan. Jika masih tidak mampu, PBIMM akan cuba bantu asalkan mereka mahu belajar,” katanya pada sidang media pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej New Era, Dr Mok Soon Chong dan Penolong Pengarah Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hanim Rithuan.

Dr Saharuddin berkata, sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dan pelajar dengan tujuh bidang pengajian berbeza iaitu Diploma Perniagaan, Perakaunan, E- Perdagangan, Pembangunan Laman Web, Hiasan Dalaman, Seni Visual dan Teknologi Maklumat.


(Harian Metro, 2012.07.14)